Bekalan gula cukup - KPDNKK
| |
| Wartawan yang juga ahli Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia (PKWPM) cawangan Kedah terkejut melihat lambakan gula Malaysia dijual di kedai runcit di Pattani, baru-baru ini. - BERNAMA |
KUALA LUMPUR 30 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan 'pembelian panik' kerana bekalan gula di seluruh negara mencukupi.
Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, kekurangan bekalan gula di pasaran adalah disebabkan pemborong dan peruncit menyorokkan gula dengan harapan harga runcit akan meningkat naik.
Menurutnya, kementerian telah mengeluarkan arahan supaya mana-mana pemborong dan peruncit yang menyorokkan bekalan gula akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan lesen perniagaannya akan ditarik.
"Bekalan gula di dalam negara masih lagi terkawal dan orang ramai tidak perlu merasa panik dengan membeli bekalan gula secara berlebihan.
"Malah, kerajaan telah menaikkan pengeluaran bekalan gula sebanyak lima peratus di seluruh negara bagi memastikan bekalan terus mencukupi,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai masalah kekurangan gula yang terus melanda negara.
Terbaru, terdapat segelintir peruncit yang mengenakan syarat melampau bagi membolehkan orang awam membeli bekalan gula.
Menurut Lian Hoe, kementerian telah menyediakan stok penimbal bagi setiap negeri untuk memastikan bekalan gula sentiasa mencukupi.
Katanya, orang awam boleh merujuk kepada pegawai KPDNKK yang ditempatkan di setiap negeri jika berlaku kehabisan bekalan gula di kawasan mereka.
"Kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas peruncit dan pemborong yang menyusahkan orang ramai,'' katanya.

0 comments:
Post a Comment